K.H.Qiamat


PENGENALAN :

Percaya kepada Hari Kiamat adalah wajib bagi setiap umat Islam kerana ia adalah satu daripada rukun Iman yang enam perkara.  Agama-agama lain seperti Kristian, Buddha & Yahudi juga mempercayai adanya Hari Kiamat.


PENGERTIAN :
Perkataan kiamat berasal dari perkataan Arab yang ertinya : -

  • Dari segi Bahasa          :  Bangkit, bangun, berdiri betul.
  • Dari segi Ilmu Tauhid  :  Bangkit setelah dihidupkan semula oleh Allah s.w.t selepas mati
                                                untuk menerima balasan daripada Allah.
  • Dari segi Syarak          :   Hari akhir atau penghabisan bagi alam ini.  Segala makhluk dan
                                                isi kandungan alam ini akan hancur dan rosak binasa dan satu
                                                alam baru akan diadakan.

>  Hari kiamat ialah hari hidup semula selepas mati.  Tiap-tiap manusia akan  melalui 3 proses untuk menuju ke Peringkat Akhir iaitu peringkat hidup yang kekal abadi selama-lamanya : -


PROSES KEHIDUPAN MANUSIA KE KEHIDUPAN YANG KEKAL ABADI :

  • Proses yang Pertama :  Daripada tiada kepada ada.  ( Pertama kali hidup ).
  • Proses yang Kedua    :  Daripada ada kepada tiada.  ( Mati setelah hidup ).
  • Proses yang Ketiga     :  Hidup semula setelah mati.  ( Hidup yang kekal abadi ).


NAMA-NAMA KIAMAT :

BAHASA ARAB

ERTINYA

يوم الحساب

Yaum Al – Hisab
Hari Perhitungan
يوم الحشر
Yaum Al – Hashri
Hari Perhimpunan
يوم الواقعة
Yaum Al – Waqi’ah
Hari Kejatuhan
يوم الزلزلة
Yaum Al – zilzilah
Hari Kegempaan
يوم البعث
Yaum Al – Ba’thi
Hari Kebangkitan
يوم الدين
Yaum Al – Din
Hari Perkiraan
يوم النشور
Yaum Al - Nushur
Hari Kebangkitan semula
يوم يفر المرء من أخيه
Yaum yafirru Al-Mar u Min Akhihi
Hari lari seseorang dari saudaranya
يوم لا ينفع مال ولا بنون
Yaum La  Yanfa’u Malun wa La Banun
Hari yang tidak berguna harta dan anak-anak
يوم الجماعة
Yaum Al – Jama’ah
Hari pengumpulan
يوم الآخرة
Yaum Al - Akhirat
Hari Penghabisan
يوم القارعة
Yaum Al – Qari’ah
Hari Keributan

يوم الوعيد

Yaum Al – Wa’ed
Hari Ancaman





CARA MEMPERCAYAI HARI KIAMAT.

Orang Islam wajib mempercayai adanya Hari Kiamat kerana ianya salah satu daripada Rukun Iman.  Hari kiamat bererti hari yang dibangkitkan semula oleh Allah selepas mati.  Tidak ada sesiapa pun ( termasuk Nabi Muhammad SAW ) yang dapat mengetahui bila berlakunya hari kiamat itu kecuali Allah Yang Maha Mengetahui.  Firman Allah s.w.t :
[  إن الساعة لآتية لا ريب فيها  ]
Ertinya : “ Sesungguhnya kiamat tetap akan tiba dengan tidak ragu-ragu lagi “.


Percaya kepada hari kiamat ertinya meyakini bahawa setiap manusia selepas mati akan dihidupkan semula.  Mereka akan menghadapi penyoalan di dalam kubur, pengadilan di padang Mahsyar terhadap iman dan amalan-amalan yang mereka telah lakukan di dunia.  Tiap-tiap amal yang baik akan dibalas dengan syurga dan sebaliknya dimasukkan ke dalam neraka.


Perkara-perkara seperti ini dinamakan sam’iyyiat (  سمعية  ) iaitu perkara-perkara yang kita dengar dari apa yang telah disampaikan oleh Nabi dan terus percaya sahaja kerana akal fikiran setiap manusia tidak akan sampai ( walau dengan apa cara sekalipun ) untuk memikirkan hakikat sebenarnya.  Ianya sama seperti kelemahan kita untuk memikirkan apa hakikat roh atau nyawa yang sebenarnya?  Nabi pernah dicabar oleh musuhnya supaya baginda menerangkan apa itu roh seperti apa yang diceritakan dalam Al-Quran :
[  يسئلونك عن الروح قل الروح من أمر ربي ]
Ertinya : “ Mereka tanya kamu berkenaan dengan roh.  Katakan roh adalah dari urusan Tuhan Ku “.  
( Ilmu Allah s.w.t.  adalah melebihi pengetahuan kita )


Beriman dengan hari kiamat sama dengan beriman kepada Allah.  Ertinya barang siapa yang tidak mempercayainya maka rosaklah keseluruhan imannya dan bukanlah dari golongan orang-orang yang beriman dan berugama Islam.  Oleh yang demikian, setiap orang yang berugama Islam wajib percaya dengan sepenuh hati kepada semua rukun Iman yang 6 tanpa syak wasangka dan ragu-ragu.


Nota :
·                                 Beriman dengan hari kiamat : -
1-        Tiap-tiap orang Islam wajib mempercayai tanpa sebarang keraguan bahawa hari kiamat pasti akan berlaku dan alam ini akan dimusnahkan oleh Allah.

2-        Percaya kepada hari kiamat adalah salah satu rukun Iman.  Seseorang yang tidak mempercayainya bukanlah terdiri daripada orang-orang Islam walaupun dia mempercayai rukun-rukun yang lain.

3-        Percaya bahawa Allah akan memberi pembalasan dengan seadil-adilnya.


·         Masa berlaku hari kiamat :
Manusia tidak dapat menentukan atau meramalkan bilakah masa yang tepat akan berlakunya kiamat.  Hanya Allah sahaja yang mengetahui berlakunya kiamat tersebut.
Firman Allah :- سورة لقمان : 34    [ إن الله عنده علم الساعة ]
Ertinya : “ Sesungguhnya hanya Allah sendirilah yang memiliki ilmu pengetahuan perihal hari kiamat “.


·         Dalil menunjukkan kiamat :    - - سورة الحج : 7[ وإن الساعة لآتية لا ريب فيها  ]
Ertinya : “ Sesungguhnya kiamat  tetap akan tiba dengan tidak ragu-ragu lagi “.

TUJUAN ALLAH MERAHSIAKAN MASA BERLAKUNYA KIAMAT.

1-       Supaya manusia sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menjalani kehidupan mereka seharian daripada melakukan perkara-perkara yang keji.
2-       Untuk menunjukkan keagungan dan kekuasaan atau kebesaran Allah.
3-       Supaya manusia mengerjakan amal ibadat secara berterusan dan sentiasa mengawasi kehidupan mereka.
4-       Untuk menguji manusia tentang keimanan mereka mengenai perkara-perkara sam’iyyat.
5-       Untuk menyedarkan umat manusia bahawa Allah sahajalah Yang Maha Mengetahui tentang perkara-perkara ghaib.



TUJUAN ATAU HIKMAT BERIMAN DENGAN HARI KIAMAT.

1)       Untuk mengingatkan manusia bahawa kehidupan mereka di dunia ini hanya sementara sahaja
        dan kehidupan akhirat itulah sahaja yang kekal abadi.
2)       Supaya manusia mematuhi segala suruhan Allah dan meninggalkan apa yang dilarang.
3)       Supaya manusia menyedari bahawa segala amalan mereka samaada baik atau buruk akan
        dibalas oleh Allah.
4)       Untuk menggalakkan manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.
5)                                 Untuk membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah ke atas makhlukNya.
6)       Untuk menguji keimanan dan keyakinan manusia kepada Allah walaupun persoalan kiamat ini merupakan perkara ghaib yang tidak dapat dibuktikan dengan nyata.






v  SAM’IYYAT  (  السمعيات   )

Pengertiannya :  Perkara ghaib yang dijadikan Allah s.w.t, yang didengar daripada Rasulullah s.a.w dan hanya diketahui melalui Al-Quran dan Hadis dan kita terus sahaja mempercayainya kerana akal fikiran manusia tidak akan dapat memikirkan hakikatnya.


Perkara-perkara sam’iyyat adalah seperti :
-          Hari Kiamat                                                 -  Alam kubur
-          Syurga dan neraka                                      -  Padang Mahsyar    
-          Mizan (timbangan)                                       -  Kiraan amal
-     Siratul Mustaqim (titian)                              -  Pahala dan dosa
-          Soal munkar dan nakir                                                                     
-          Syafaat Nabi Muhammad s.a.w



HAMPIRKAH BERLAKUNYA HARI KIAMAT ?

Hadis Nabi : “  لا تقوم الساعة حتى يكثر الهرج.  قالوا  : ما الهرج ؟  قال : القتل القتل 
Ertinya : “ Tidak berdiri Kiamat melainkan apabila berlaku huru-hara.  Orang bertanya : Apakah huru-hara itu ?  Sabda Rasulullah s.a.w : Pembunuhan, Pembunuhan “.





                ALAMAT-ALAMAT KIAMAT


 



                       
Alamat Besar                                                            Alamat Kecil


Tanda-tanda kecil  ( permulaan ) : -


1)       Waktu berjalan tersangat cepat.
2)       Selalu berlaku gempa bumi.
3)       Lahir bermacam-macam fitnah, tuduh menuduh, caci mencaci, perebutan kuasa dsb.
4)       Berlaku zina dan pelacuran berleluasa.
5)       Meminum arak dan mabuk menjadi kemegahan.
6)       Perempuan lebih ramai daripada lelaki.
7)       Sedikit orang alim dan banyak orang jahil.
8)       Urusan agama ditadbir oleh orang yang bukan ahlinya.
9)       Banyak berlaku rompakan, perkosaan dan penipuan.
      10)   Orang berlumba-lumba membina bangunan tinggi.
      11)   Orang Islam tidak tahu membezakan halal dan haram.
12)     Manusia mementingkan kebendaan (dunia) dan membelakangkan moral (akhlak).
13)     Wanita berbogel dipandang indah daripada yang menutup aurat.

 

Tanda-tanda Besar : -


1)        Keluar asap dari bumi Hijaz.
2)        Keluar Dajjal.
3)        Keluar binatang Dabatul Ard.
4)        Matahari terbit daripada barat.
5)        Turunnya Nabi Isa a.s
6)        Keluarnya Ya’juj dan Ma’juj.
7)        Tiga kali gerhana : sekali di barat, di gugusan tanah arab, akhirnya keluar api dari Negeri Yaman
        dan semua manusia lari ke negeri Sham (syria).
8)        Turunnya Imam Mahdi.
9)        Runtuhnya kaabah.
      10)    Terjadi malam yang sangat panjang.
      11)    Hapusnya Al-Quran dari Mushaf dan dada manusia (penghafaz Al-Quran).
      12)    Pintu taubat tertutup.
      13)    Planet-planet berlanggaran di antara satu sama lain.
      14)    Hapusnya tulisan Al-Quran dalam Mushaf.


BINATANG DABATUL ARD :

-  Sejenis binatang melata di muka bumi daripada Ziad di Mekkah.
    Ini berdasarkan Al-Quran, Firman Allah s.w.t :
                  [ وإذا وقع القول عليهم أخرجنا لهم دابة من الأرض تكلمهم أن الناس كانوا بأياتنا لا يوقنون ]
   Ertinya : “ Apabila berlakunya percakapan kepada mereka (orang kafir) Kami (Allah)
   Keluarkan padanya seekor binatang Dabatul Ard yang boleh bercakap dengan mereka bahawasanya
   manusia tidak percaya dengan keterangan Kami “

Hadis Nabi Muhammad s.a.w :
  Keluar panjang dadanya sehingga ke rukun Yamani tetapi ekornya tidak keluar, terdapat di badannya   tanda umat Muhammad.  Binatang tersebut meracunkan orang muslim maka kelihatan wajah orang mukmin berseri-seri, maka ditulis di antara dua matanya –mukmin-, kemudian ia meracunkan mata orang kafir, di antara dua warna matanya tadi ada warna hitam dan tulisan –kafir- “.
-  Menurut Pendapat Imam As-Sawi : “ Panjang binatang tersebut ialah 60 hasta.  Mengikut hadis lain, binatang ini kakinya 4 dan berbulu. Badannya berbulu separuh dan separuh lagi berbulu tebal dan mempunyai sayap kanan.

-  Menurut Ibnu Zarith, binatang ini kepalanya lembu, matanya babi, telinganya gajah, tanduknya unta, tengkuknya Kashwar, dadanya singa dan warnanya hitam.




KEDATANGAN DAJJAL :

-  Dajjal ialah pendusta yang mengaku dirinya sebagai Tuhan, buta sebelah matanya berganti-ganti dengan sebelah lagi.  Ada alamat kafir di keningnya.  Sangat bijak menipu dan banyak pula pengetahuannya mengenai alam ini.  Oleh kerana kebijaksanaannya yang luar biasa maka banyak manusia yang mempercayainya dan mengakuinya sebagi Tuhan.

Tafsiran Ulama mengenai Dajjal :
-          Ada yang berpendapat bahawa Dajjal mati dibunuh oleh Nabi Isa a.s yang akan datang apabila hari
       kiamat.
-      Ada yang mentafsirkan Dajjal sebagai gambaran simbolik yang bermaksud dengan penipuan, fitnah,
       huru-hara, kacau bilau yang menjadi-jadi di akhir zaman.
-          Ada yang mengatakan Dajjal itu ialah Kapatalis dan Imperalis ataupun fahaman tidak bertuhan.



TURUNNYA NABI ISA A.S KE DUNIA :

-  Sebagaimana yang telah diterangkan dalam Al-Quran bahawa Nabi Isa tidak mati dibunuh dan tidak disula (disalib) bahkan dia diangkat oleh Allah hidup-hidup ke langit.  Firman Allah :
[ وما قتلوه وما صلبوه ولكن شبه لهم ]
Ertinya : “ Ia (Isa) tidak dibunuh dan disula oleh mereka tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka “.


-  Ada dakwaan yang mengatakan bahawa diri mereka adalah Isa Al-Masih yang akan datang kali kedua : -
1)       Golongan Qadiani mengakui, penganjur mereka ( Mirza Ghulam Ahmad ) yang akan datang ke dunia bagi kali kedua.

2)       Golongan Bahai pula mengakui, penganjur mereka ( Bahaullah ) yang akan datang ke bumi pada kali kedua.

-  Terdapat perbezaan pendapat mengenai kedatangan Nabi Isa pada kali kedua sebagai tanda
    Hari Kiamat : -
i)         Pendapat Islam :  Kedatangan Nabi Isa di akhir zaman adalah bertugas sebagai Rasul  tetapi bukan Rasul yang terakhir.  Ia bertugas untuk meneruskan seruan mentauhidkan Allah dan menyambung syariat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

                     ii)     Pendapat Kristian : Mereka percaya bahawa Nabi Isa akan turun kali kedua di akhir zaman
               sebagai Rasul terakhir.  Ia turun untuk menyambung tugasnya dan menyeru manusia supaya
               kembali kepada kerajaan bapa (God) yang kekal abadi di dalam syurga.






MATAHARI TERBIT DARI BARAT :

-  Matahari akan terbit dari barat di akhir zaman nanti.  Ini adalah tidak mustahil bagi akal fikiran yang waras menerimanya kerana kalau Allah menghendaki sesuatu itu berlaku, maka tiada ada perkara yang mustahil bagi Nya.  Buktinya : -
  • Ketika Nabi Ibrahim dimasukkan kedalam api oleh kaumnya, baginda terselamat daripada terbakar.

  • Peristiwa ketika Nabi Musa dikejar oleh Firaun dan tenteranya untuk dibunuh.  Dengan kuasa Allah, apabila Nabi Musa memukul Laut Merah dengan tongkatnya, maka laut itu terbelah 2 sehingga Nabi Musa dan pengikutnya dapat berjalan di laut itu dengan selamat akan sebaliknya Raja Firaun di belakang telah mati kerana Laut Merah itu bercantum semula.

  • Peristiwa Nabi Isa yang boleh menghidupkan semula orang mati.  Dengan izin Allah, apabila dipegang oleh Nabi Isa tengkorak si mati, maka tengkorak itupun berkata-kata dan kemudian mayat itu mati semula.



KELUARNYA YA’JUJ DAN MA’JUJ :

Bermacam-macam tafsiran ulama mengenai Ya’juj dan Ma’juj ini, di antaranya : -

           -    Dalam Surah Al-Kahfi terdapat cerita mengenai Ya’juj dan Ma’juj yang akan melakukan kebuasan
                di   atas muka bumi ini.

-      Dalam Surah Al-Anbiya, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj menandakan hampir berlakunya Kiamat.

-      Mengikut tafsiran yang mashyur di kalangan ulama tafsir bahawa Ya’juj dan Ma’juj adalah dua umat
      manusia yang besar berasal dari keturunan Yafith anak Nabi Noh a.s.  Mereka ini berbangsa Mongol
      dan Tartar yang berasal daripada Utara Benua Asia ( mulai daripada Negeri China dan Tibet hingga
      ke laut Beku di Utara dan bersempadankan Negeri Turkistan di Barat ).

-    Mengikut Ahli-ahli Sejarah (termasuk ahli sejarah Barat), mereka ini sejak dulu adalah umat manusia
      yang liar dan ganas serta sentiasa memerangi kaum-kaum yang berhampiran. 


GAMBARAN KEADAAN ALAM & MANUSIA KETIKA BERLAKUNYA HARI KIAMAT :

Keadaan alam :
  1. Bukit-bukau dan gunung-ganang menjadi debu dan berterbangan.
  2. Bulan, bintang dan lain-lain planet berlanggaran di antara satu sama lain.
  3. Semua isi alam akan musnah sama sekali.

Keadaan manusia :
  1. Anak yang sedang menyusu di pangkuan ibunya terlepas daripada ibunya.
  2. Ibu yang sedang mengandung akan keguguran anak dari kandungannya.
  3. Manusia terhuyung-hayang seperti mabuk.


Di dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang menerangkan mengenai gambaran umum kejadian qiamat di antaranya : -

a)       Dalam surah Az-Zalzalah ( الزلزلة ) diterangkan bahawa apabila ditiup sangkakala qiamat, maka bergegarlah bumi dan remuklah ia. Langit bergulung dan pecah, bumi mengeluarkan isinya, manusia tercengang kehairanan mengapa terjadi sedang bumi adalah menjunjung perintah Allah.

b)       Dalam surah An-Nabaa’ (النبأ) diterangkan bahawa apabila ditiup sangkakala, maka pecahlah langit dan berkecemuklah bukit bukau.

c)       Dalam surah (عبس) diterangkan bahawa pada hari qiamat manusia hanya mementingkan dirinya sendiri sahaja, maksudnya tidak perlukan lagi ibu bapa, anak isteri, saudara mara dsbnya.

d)       Dalam surah At-Takwir ( التكوير ) diterangkan pada hari itu matahari digulung, bintang-bintang gugur, gunung-gunung berterbangan, unta-unta tidak dipedulikan, binatang liar dihimpunkan, diberi balasan kemudian dikembalikan menjadi tanah.

e)       Dalam surah Al-Qariah ( القارعة ) diterangkan bahawa manusia seperti hamparan terbentang, bukit bukau ibarat bulu ditiup.



ALAM BARZAKH ( KUBUR )

Alam Barzakh : Tempat tinggal manusia yang telah meninggal dunia dan mereka akan disoal oleh Malaikat
                          Munkar dan Nakir serta akan menerima balasan Allah sebelum tiba hari dibangkitkan
                          semula.

TIGA PERKARA YANG DAPAT MERINGANKAN AZAB DI ALAM BARZAKH :
  1. Harta yang dimanfaatkan seperti wakaf dan sedekah jariah.
  2. Ilmu yang dimanfaatkan yang berguna dunia dan akhirat.
  3. Anak yang soleh yang mendoakan kebahagiaan kedua ibu bapanya.


KEADAAN SEKSA DAN NIKMAT DI DALAM KUBUR SEBAGAIMANA YANG DITERANGKAN OLEH HADIS NABI MUHAMMAD.

-   Yang berbahagia : ditemani oleh amalannya yang soleh, malaikat datang membawa berita baik untuknya. Ruangan dan bau syurga menusuk penglihatan dan jiwanya dan merasai cukup cepat sekali berlakunya alam kubur.

-  Yang celaka : lipan dan kalajengking datang menggigit. Bahang neraka menjilat-jilat tubuhnya yang diapit oleh alam kubur yang sempit. Rasakan berselisih tulang rusuknya. Dan merasai tersangat kuat seksaannya.





v  SANGKAKALA ( الشور )
Ertinya :  Satu alat tiupan untuk semboyan terjadi atau berlakunya qiamat yang ditiup oleh Malaikat Israfil.

Apabila berbunyi sangkakala maka gegar gempitalah isi langit dan bumi ( sekalian makhluqat ), segala aturan alam jadi kelam kabut, segala-galanya musnah dan hancur luluh.


PERINGKAT TIUPAN SANGKAKALA :
Ulama tafsir menjelaskan bahawa tiupan sangkakala yang ditiup oleh malaikat Israfil itu ada tiga peringkat : -
1.       Tiupan pertama ialah musnah segala ka ‘inat (makhluk).
2.       Tiupan kedua ialah hidup semula segala yang bernyawa.
3.       Tiupan ketiga ialah berduyun-duyun ke padang Mahsyar untuk dihisab dan diberi balasan.




v  PENGERTIAN MAHSYAR ( محشر )

Ertinya : Satu tempat yang luas yang disediakan oleh Allah SWT di hari qiamat, di tempat itulah berhimpunnya sekalian manusia untuk dihisab dan seterusnya menerima balasan masing-masing.


DALIL DIHIMPUNKAN DI PADANG MAHSYAR :

Firman Allah SWT yang ertinya :  “ Dan pada hari kiamat dihimpunkan musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka ”.


KEADAAN MANUSIA DI PADANG MAHSYAR :
Adalah bergantung kepada amalan yang telah dilakukan semasa hidup di dunia iaitu melakukan amalan kebaikan atau keburukan.
·         Bagi mereka yang beramal soleh :  mereka tenang, tenteram dan wajah mereka berseri-seri dengan senyum riang dan mendapat rahmat dari Allah serta akan terhindar dari azab penderitaan.
·         Bagi yang melakukan keburukan atau kejahatan :  mereka itu akan menerima azab serta penderitaan dari Allah, ada yang merasakan matahari sejengkal daripada atas kepalanya.

Dalam hadis Nabi ada menerangkan bahawa pada hari umat dihimpunkan di hari qiamat ada sepuluh bahagian atau golongan dan tiap-tiap bahagian dengan rupa kejadian dan kelakuan masing-masing iaitu :-
1.       Ada yang berupa monyet
2.       Ada yang berupa babi
3.       Ada yang berkeadaan buta
4.       Ada yang berkeadaan pekak
5.       Ada yang menggigit-gigit lidahnya yang terjelir hingga ke atas dadanya
6.       Ada yang keadaan kakinya ke atas sementara kepalanya di bawah
7.       Ada yang keadaan kedua kaki dan tangannya terpotong
8.       Ada yang tersula atau tersalip di bara api
9.       Ada yang keadaannya berbau busuk lebih dari bangkai
10.    Ada berpakaian atau berbaju panjang menelangkup wap bau busuk pada badannya.


RUPA KEJADIAN DAN KELAKUAN DI ATAS DISEBABKAN PERKARA BERIKUT :
1.       Manusia yang suka mengadu domba (melaga-lagakan seseorang).
2.       Manusia yang suka makan barang atau makanan yang haram.
3.       Manusia yan curang dalam menerapkan hukum.
4.       Manusia yang suka mempamerkan dan merasa bangga pada amalannya sendiri.
5.       Manusia yang jadi tukang cerita atau ahli pidato yang ucapannya itu berlainan sekali dengan kelakuannya sendiri.
6.       Manusia yang makan riba.
7.       Manusia yang suka mengganggu tetangganya.
8.       Manusia yang berusaha mengajak orang ramai untuk membela sultan atau penguasa negara yang tidak jujur.
9.       Orang yang gemar melempiaskan kesyahwatan dan segala macam kelazatan serta menolak hak Allah yang diwajibkan dari hartanya.
10.    Manusia yang suka takabbur, sombong dan bongkak.


TUJUAN / HIKMAT DIKUMPULKAN DI PADANG MAHSYAR :
1.       Untuk dihitung atau dihisab segala amalan mereka semasa hidup di dunia.
2.       Untuk mendedahkan tembelang orang yang membuat salah.
3.       Untuk dibicarakan di hadapan Allah tentang segala kesalahan dan dosa yang mereka lakukan.
4.       Supaya manusia sentiasa mengingati dan mematuhi perintah Allah serta meninggalkan laranganNya.
5.       Untuk membezakan orang baik dan jahat.
6.       Untuk menggalakkan manusia membuat amal dan menjauhkan dari maksiat
7.       Untuk menunaikan janji-janji Allah.
8.       Untuk membuktikan kebesaran, keagungan dan keadilan Allah.
9.       Kebanyakan manusia belum lagi mendapat balasan yang setimpal di dunia.



v  HISAB – PENGADILAN ( الحساب )
Ialah kiraan amalan manusia pada hari qiamat. Setiap amalan manusia sama ada baik atau buruk akan dikira satu persatu dari yang sekecil-kecil hingga sebesar-besar secara adil untuk diberi pembalasan.


Dalil adanya hisab Firman Allah: -
- سورة الرعد : 21   [ ويخشون ربهم ويخافون سوء الحساب ]

Maksudnya  : “ Dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut pada hisab yang buruk.”



PERKARA-PERKARA YANG DIHISAB :

1.       Berdasarkan hadis ada 4 perkara yang akan dihisab iaitu: -
a)       Tentang umur : di mana dihabiskan
b)       Tentang ilmu : apa yang diamalkan
c)       Tentang harta : di mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan
d)       Tentang anggota badan : di mana dipergunakan


2.       Pertama-pertama yang akan dihisabkan ialah amalan sembahyang. Sabda Rasulullah:
" أول ما يحاسب به العبد يوم القيامة الصلاة " رواه الترمذى -
Maksudnya : "Permulaan perkara yang dihisab dengan dia seorang hamba pada hari qiamat ialah sembahyang."


KEADAAN MANUSIA SEMASA MENERIMA HISAB :
  1. Orang yang beriman berada dalam keadaan yang tenang, selesa, mudah, cepat, dimuliakan dan dimaafkan.
  2. Orang yang tidak beriman berada dalam keadaan yang terseksa dengan pelbagai keazaban, sulit, diherdik serta dihina.

-  Golongan yang mula-mula dihisab iaitu ulama dan orang-orang yang soleh serta pejuang-pejuang
    fi-sabilillah ( ke jalan Allah ).


CARA PERKIRAAN DIJALANKAN :

  1. Pertimbangan dan perkiraan dijalankan dengan seadil-adilnya mengikut amalan manusia.
  2. Mulut manusia dikelukan dan tangan, kaki, telinga, mata serta kulit berkata-kata menjadi saksi mengenai amalan mereka di dunia.
  3. Manusia akan diberi rekod amalan masing-masing. Jika mereka menerima sebelah kanan maka balasan Syurga dan jika sebelah kiri maka Nerakalah tempatnya.
  4. Setelah dihisab, mereka akan menuju Sirat yang dibentangkan atas Neraka Jahanam.  Orang yang beriman akan lancar menuju ke Syurga sementara orang yang kufur akan jatuh tersungkur dalam api Jahanam.


KEADAAN MANUSIA KETIKA DIHISAB MENURUT AL-QURAN :

  1. Dalam Surah Yasin : 
-          Pada hari kiamat mulut manusia dikelukan, tangan berkata-kata dan kaki jadi saksi atas amalan di dunia.
-          Seteru Allah ditahan untuk dimasukkan ke dalam Neraka.  Sebaik sahaja tiba maka pendengaran, penglihatan dan kulit mereka jadi saksi atas perbuatan mereka.  Mereka marahkan pendengaran, penglihatan dan kulit mereka atas penyaksian itu.  Tetapi dijawab bahawa Allah yang menuturkan mereka.

  1. Dalam Surah Al-Inshiqaq :
-          Orang yang dihulurkan suratan amalnya melalui kanannya adalah balasan Syurga baginya dan orang  yang dihulurkan suratannya ke belakang melalui kirinya maka Nerakalah padahnya.


HIKMAT DIADAKAN HISAB :

1.       Untuk menggalakkan manusia supaya mengerjakan amalan yang baik dan meninggalkan perbuatan keji.
2.       Menunjukkan keagungan dan kebesaran Allah.
3.       Untuk menyempurnakan sifat Allah yang adil terhadap makhluknya.
4.       Untuk memberi balasan dan ganjaran yang setimpal dengan perbuatan manusia.
5.       Untuk meletakkan manusia ditaraf yang tertentu di akhirat nanti mengikut amalannya.


v  AL-MIZAN ( الميزان )

Ialah timbangan atau neraca yang dijadikan oleh Allah SWT, digunakan untuk menimbang segala amalan manusia setelah dihisab.


Dalilnya Surah Al-Anbiya ayat 47 :
] ونضع الموازن القسط ليوم القيامة فلا تظلم نفس شيئا وإن كان مثقال حبة من خردل آتينا بها وقفا بنا حسبين  [

Maksudnya : "Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari qiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika amalan itu hanya seberat biji sawi pun pasti akan kami mendatangkan pahalanya. Dan cukuplah kami menjadi orang-orang yang membuat perhitungan."


v  AS - SIRAT ( الصراط )

Ertinya : Titian atau jambatan yang terbentang / merentangi di atas api neraka untuk menuju ke Syurga.  
              Keadaan as-Sirat lebih tajam daripada mata pedang dan lebih halus daripada urat rambut.
              Setiap orang sesudah ditimbang segala amalannya akan melalui titian itu.


Dalil adanya As-Sirat :
" يوم تبدل الأرض غير الأرض والسموات وبرزوا لله الواحد القهار.  قالت يا رسول الله : أين يكون الناس ؟
 قال : على الصراط ".
 – رواه مسلم والترمذى -  

Ertinya :  " Pada hari digantikanNya bumi ini dengan bumi yang lain dan demikian jua halnya langit serta semua orang itu sama menampakkan diri terhadap Allah yang Maha Esa lagi perkasa.
Lalu Saidatina Aisyah bertanya: “ Ya Rasulullah, di manakah manusia pada waktu itu? ” Rasulullah menjawab: “ Di atas jambatan. ”

KEADAAN ORANG-ORANG YANG MELALUI AS-SIRAT :

-  Orang yang melalui As-Sirat terdiri dari berbagai-bagai cara. Ada orang yang melaluinya dengan laju dan sekelip mata sahaja, ada yang lambat, merangkak dan ada yang terjatuh ke bawah iaitu ke dalam neraka.

- Bagi orang yang berat timbangan kebaikannya mereka akan melalui As-Sirat dengan mudah dan sampai ke syurga. Manakala orang yang berat timbangan kejahatannya akan melalui dengan payah dan akan terjatuh ke dalam neraka.



TUJUAN / HIKMAT DIADAKAN AS-SIRAT :

1.       Mengasingkan penghuni syurga dan neraka.

2.       Membuktikan keagungan, kebesaran dan kebenaran Allah.

3.       Membuktikan bahawa Allah itu Maha Adil dan menunaikan janji-janjiNya

4.       Memberi kegembiraan kepada orang mukmin yang soleh

5.       Memberi penyeksaan kepada mereka yang menderhaka kepada Allah

6.       Merupakan ujian terakhir kepada manusia sebelum dimasukkan ke dalam syurga atau neraka.




v  SYAFAAT ( الشفاعة )

Bahasa  :  Pertolongan.
Istilah   :    Ialah kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang yang tertentu seperti
                  rasul-rasul, nabi-nabi, para wali dan orang-orang soleh untuk menolong manusia di akhirat nanti.

Dalil adanya syafaat sabda Rasulullah: -
" وأنا أول شافع وأول مشفع "  - رواه مسلم -
Ertinya : "  Akulah orang pertama memberi syafaat dan juga yang pertama menerima syafaat."


GOLONGAN YANG MEMBERI SYAFAAT
GOLONGAN YANG MENERIMA SYAFAAT
1.       Para Rasul
2.       Para Nabi
3.       Para Malaikat
4.       Para sahabat Nabi
5.       Para syuhada
6.       Para Aulia
7.       Para Ulama
8.       Kanak-kanak yang mati sebelum baligh
1.       Orang-orang yang beriman kepada Allah & RasulNya.
2.       Mukmin yang melakukan amal ma’ruf dan meninggalkan kejahatan
3.       Orang yang banyak berzikir & berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.
4.       Orang yang menziarahi makam Nabi SAW.
5.       Orang-orang yang sentiasa mendampingi para ulama


JENIS-JENIS SYAFAAT :

1.       Syafaat ،Uzma ( utama ) :
Iaitu syafaat untuk mempercepatkan kiraan amalan hisab dan meringankan azab semasa di padang mahsyar. Syafaat ini hanya dikhususkan kepada Nabi Muhammad sahaja dan tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain.

2.       Syafaat Sughra ( kecil ) :
a.       Memasukkan golongan umat Islam yang soleh ke dalam syurga tanpa hisab.

b.       Melepaskan golongan umat Islam yang akan dimasukkan ke dalam neraka.

c.        Mengeluarkan orang-orang Islam yang telah dimasukkan ke neraka untuk dimasukkan ke syurga.

d.       Menaikkan darjah seseorang Islam yang sedang berada di dalam syurga ke darjah yang lebih tinggi (syurga yang lebih baik).

e.       Menentukan golongan yang sama berat timbangan dosa dan pahalanya sama ada dimasukkan ke syurga atau ke neraka.



SYAFAAT YANG DIKHUSUSKAN KEPADA NABI MUHAMMAD :

1.       Syafaat Uzma iaitu mempercepatkan hisab di padang mahsyar

2.       Memasukkan seseorang ke dalam syurga tanpa hisab

3.       Mengeluarkan ahli neraka sebelum cukup tempohnya untuk dimasukkan ke dalam syurga



HIKMAT DIADAKAN SYAFAAT DI PADANG MAHSYAR  :
1.       Menunjukkan bahawa Allah itu Maha Kuasa, Pemurah, Pengasih dan Penyayang terhadap sekalian hamba-hambaNya.

2.       Menggalakkan manusia patuh kepada segala perintah dan ajaran para rasul, mengasihi dan mengikut jejak langkah mereka agar dikurniakan syafaat di akhirat kelak.

3.       Menunjukkan kemuliaan orang-orang tertentu di sisi Allah serta membolehkan memberi pertolongan kepada umat atau pengikut masing-masing.

4.       Memberikan kebahagiaan dan keistimewaan kepada orang-orang yang benar-benar patuh kepada Allah.

5.       Menunjukkan manusia tidak sunyi dari melakukan kesalahan dan memerlukan pertolongan.

6.       Mengelakkan manusia bersifat putus asa dengan rahmat Allah.



ORANG YANG TIDAK BERHAK MENERIMA SYAFAAT NABI :

Ialah orang yang ingkar menerima seruan Nabi Muhammad untuk mengajak kepada Islam semasa hidup di dunia.

















v  PAHALA DAN DOSA

Pahala : ialah janji balasan baik atau suatu anugerah Allah SWT kepada orang-orang Islam yang membuat sesuatu kebaikan dan menurut perintahNya.

Dosa : ialah janji balasan jahat yang berupa azab atau penderitaan yang diberi oleh Allah SWT kepada sesiapa yang melakukan kejahatan atau melanggar perintahNya.



PEMBALASAN PAHALA DAN DOSA
Pahala dan dosa itu tidaklah diterima serta merta di dunia, kerana pahala dan dosa itu janji pelaksanaannya adalah di akhirat. Tetapi ada juga pembalasannya di dunia serta merta seperti kaum ‘Ad, kaum Thamud, kaum Nabi Lut dan lain-lain.



TINGKAT AMALAN MANUSIA MENURUT ULAMA-ULAMA TASAWUF:
Mereka berpendapat bahawa amalan manusia itu ada beberapa peringkat:

1.       Peringkat Paling Tinggi
Iaitu mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-laranganNya semata-mata ta’at kepada Allah dengan tidak mengharapkan balasan baik dan takutkan azabnya.

2.       Peringkat Paling Rendah
Iaitu mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-laranganNya semata-mata mengharapkan balasan baik dari Allah (syurga) atau takut kerana azab Allah (neraka).

3.       Peringkat Sia-sia (Tidak Diterima)
Iaitu mengerjakan sesuatu kerana lain daripada Allah seperti mengharapkan pujian orang dan sebagainya.



HIKMAT DIADAKAN PAHALA
1.       Membuktikan keadilan Ilahi (Allah Ta’ala)
2.       Mendorong manusia mematuhi perintah Allah dan melakukan amal kebajikan
3.       Memberikan ganjaran terhadap kebaikan yang dilakukan oleh manusia di dunia ini.
4.       Menepati janji Allah
5.       Membuktikan kuasa Allah



HIKMAT DIADAKAN DOSA
1.       Membuktikan keadilan Illahi
2.       Menakutkan manusia supaya tidak melakukan kejahatan
3.       Memberikan pembalasan ke atas keingkaran yang dilakukan oleh manusia di dunia
4.       Menepati janji Allah












v  SYURGA DAN NERAKA

SYURGA dari segi bahasa         :  Jannah yang bererti kebun atau taman.
                               Ilmu Tauhid  :  ialah tempat balasan nikmat yang kekal abadi, yang disediakan oleh Allah
                                                       di akhirat untuk orang-orang mukmin yang ta’atkan perintahNya.
                                                     


NAMA-NAMA SYURGA :
FIRDAUS                              (  فردوس)     :  Syurga Firdaus bagi orang yang redha dengan Qada & Qadar.
ADNIN                                ( عدن )           :  Syurga yang paling istimewa bagi orang mukmin & salih dengan Allah.
AL KHULDI                           ( الخلد )         :  Syurga yang kekal abadi bagi orang yang bertaqwa.
AN NA’IM                              ( النعيم )        :  Rumah yang bernikmat bagi orang yang kasih pada Allah.
AL-MA’WA                            ( المأوى )      :  Syurga tempat kembali bagi orang yang takut pada Allah.
DARUS SALAM                   ( دارالسلام )   :  Rumah yang sejahtera bagi orang yang sabar.
DARUL JALAL                  ( دار الجلال )   :  Bagi orang-orang yang taubat.


DALIL ADANYA SYURGA
Firman Allah:
] والذين آمنوا وعملوا الصالحات أولئك أصحاب الجنة هم فيها خالدون [ - سورة البقرة : 82
Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh mereka itu penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.


GAMBARAN KEADAAN DI SYURGA SEPERTIMANA YANG DICERITAKAN DALAM AL- QURAN.

               I.      Di dalam Al –Quran, Allah menggambarkan Syurga sebagai kebun yang terdapat di dalamnya mahligai-mahligai yang indah dengan aneka keseronokan.  Disediakan di dalamnya bidadari yang cantik jelita dan terdapat pelbagai kenikmatan yang tidak terlintas di sanubari manusia serta sungai-sungai yang mengalir dengan nyaman.

              II.      Di dalam surah Al – Ra’du : 35 diterangkan bahawa, Syurga yang dijanjikan untuk orang-orang yang bertakwa itu mengalir air sungai di bawahnya dan makanan di dalamnya tidak habis-habis.

            III.      Di dalam surah Ar Rahman : 46 - 78 diterangkan bahawa, bagi orang yang takutkan Allah itu, dua taman kesenangan yang penuh dengan dahan-dahan tersibar, mata air yang mengalir, bermacam-macam buah-buahan yang berpasangan, beredar di atas hamparan yang bahagian dalamnya sutera. Berhampiran ke dua-dua buah taman itu terdapat buah-buahan yang mudah dipetik.

           IV.      Di dalam surah Al – Mutaffifin : 18 - 28 diterangkan bahawa, orang-orang yang baik adalah dalam keadaan nikmat, dibayangkan pada mereka mahligai, seri muka mereka membayangkan nikmat, diberi minum minuman yang tertutup rapat yang campurannya narastu sejuk ( telaga minuman bagi orang yang hampir dengan Allah ).

             V.      Di dalam surah Al – Zukhruf : 68 - 80 diterangkan bahawa, orang-orang yang beriman dan menyerah diri kepada Allah dimasukkan ke dalam Syurga.  Diedarkan kepada mereka makanan dan minuman dalam pinggan dan mangkuk emas.  Di dalamnya ( Syurga ) terdapat apa sahaja yang diingini oleh nafsu dan lazat mata memandang dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalamnya.  Juga terdapat buah-buahan yang tidak habis dimakan ( bukan kerana jemu tetapi amat banyak ).


HIKMAT ALLAH MENGADAKAN SYURGA :

1.  Memberi dorongan yang kuat kepada manusia supaya ikhlas kepada Allah dalam melakukan kebaikan dan amalan salih.

2.  Supaya manusia mengerti bahawa segala amalan ini ada balasannya.

4.       Supaya manusia merasai nikmat yang paling lazat di akhirat yang tidak pernah dapat dinikmati dan dirasai di dunia ini.

5.       Sebagai menghargai perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan oleh orang-orang Islam.

6.       Untuk memberi pembalasan yang adil kepada orang-orang yang patuh kepada Allah dan RasulNya.

7.       Untuk melaksanakan janji-janji Allah kepada manusia semasa mereka hidup di dunia dahulu.



NERAKA dari segi bahasa :     An- Nar iaitu api.
                       Ilmu Tauhid  :    ialah tempat balasan seksa yang disediakan oleh Allah swt di akhirat untuk
                                                 orang-orang kafir dan orang-orang yang ingkar akan perintahNya.

NAMA-NAMA NERAKA
JAHANAM                             ( جهنم )    :  Seburuk-buruk tempat kembali bagi orang mukmin yang berdosa.
HUTHAMAH                         ( حطامة ) :  Api yang dinyalakan menjulang ke hati bagi orang Nasrani.
SA’IR                                      ( سعير )   :  Neraka yang menjulang apinya
JAHIM                                 ( جهيم )     :  Bagi penyembah berhala.
HAWIYAH                             ( هاوية )   :  Api panas yang membakar bagi orang munafik & kafir.
WAIL                                      ( ويل )     :  Bagi orang yang kurang timbangannya.
LAZHA                                             :  Neraka yang menjulang apinya untuk orang-orang yahudi (majusi)
SAQAR                                             :  Api yang terus menerus membakar bagi orang Majusi.


DALIL ADANYA NERAKA
Firman Allah Ta’ala:
] والذين كفروا بآياتنا هم أصحاب المشئمة عليهم نار مؤصدة [ - سورة البلد : 19 - 20
Maksudnya : Dan orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat kami, mereka itu adalah golongan kiri, mereka berada dalam neraka yang tertutup ”.


GAMBARAN KEADAAN DI NERAKA SEBAGAIMANA YANG DICERITAKAN DALAM AL- QURAN.

Di dalam Al- Quran telah ditegaskan dengan jelas bahawa ahli-ahli neraka itu antara lain ialah ; orang-orang kafir, Musyrik, Munafik dan semua orang yang derhaka serta melakukan dosa-dosa dan kemaksiatan dan mendustakan ayat-ayat Allah.

i)                     Di dalam surah Al Bayinah diterangkan bahawa, orang-orang yang kufur dengan kitab Allah dan orang-orang yang mempersekutukanNya dimasukkan ke dalam api Neraka Jahanam dan kekallah mereka di dalamnya.


ii)                   Di dalam surah An Nisa diterangkan bahawa, orang yang kufur dengan ayat-ayat Allah dimasukkan ke dalam Neraka yang menyala, setiap kali kulitnya hangus terbakar digantikan dengan kulit yang baru, supaya puas dirasai peritnya azab Allah itu.  Ususnya hancur dan terkeluar kerana minuman air panas yang mendidih dan darah yang bercampur nanah.  Daging mukanya hancur terkena asap minuman air mendidih.  Api membakarnya dari atas, bawah, kiri dan kanannya.  Mereka dipukul dengan pemukul besi yang membara panas, dibelenggu dan dikalungi rantai besi yang amat berat.  Banyak ular yang melilit-lilit pada badannya dan menggigitnya.  Dan banyak benda-benda yang menyengatnya.


iii)                  Di dalam surah Ad – Dukkhan : 43 – 46 : “ Sesungguhnya pohon zaqqum itu makanan orang yang banyak dosa.  Ia sebagai kotoran yang berminyak yang mendidih di dalam perut seperti mendidihnya air yang sangat panas. “





HIKMAT ALLAH MENGADAKAN NERAKA :

1.       Untuk membezakan di antara orang yang baik dan jahat.

2.       Untuk memberi amaran dan ancaman kepada manusia yang melakukan keburukan dan kejahatan yang sering mengancam keselamatan dan ketenteraman manusia.

3.       Untuk menggalakkan manusia melakukan kebaikan dan menjauhi segala kejahatan.

4.       Untuk membezakan tempat kediaman yang kekal antara orang-orang yang beriman dengan tempat orang-orang yang ingkar.

5.       Untuk membuktikan bahawa  perbuatan yang buruk itu akan dibalas dengan penyeksaan.

6.       Untuk memperlihatkan keburukan orang yang kufur dan menderhaka kepada Allah.